Memorandum Program Dwibahasa DLP
Memorandum untuk mengekalkan Sekolah DLP sepenuhnya dan menambah bilangan sekolah, kelas dan pelajar DLP di sekolah yang memenuhi kriteria DLP
1. Latar Belakang
1.1. Program dwibahasa (DLP) ditawarkan di sekolah dan kelas yang terpilih untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran STEM (sains, teknologi, matematik, kejuruteraan) di dalam bahasa Inggeris. Ia diperkenalkan pada tahun 2016 sebagai satu langkah radikal untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris melalui cara immersi dan secara serentak membolehkan penimbaan ilmu STEM di dalam bahasa asal lingua franca termasuk meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan.
1.2. Merujuk kepada garis panduan pelaksanaan DLP di dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 3 Tahun 2020: Penambahbaikan Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) KPM Tahun 2021 bertarikh 26 November 2020.
1.3. Empat kriteria penyertaan sekolah yang termaktub di dalam garis panduan DLP yang disenaraikan: sekolah mempunyai sumber yang mencukupi (5.1); Pengetua/Guru Besar mempunyai perancangan untuk melaksanakan DLP (5.2); persetujuan daripada ibu bapa/penjaga (5.3); pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM (5.4). Kriteria pencapaian Bahasa Melayu ini khusus untuk sekolah dan bukan untuk seseorang murid.
1.4. Tatacara pembukaan kelas yang berpatutan untuk memastikan pengoperasian DLP dilaksanakan secara lancar: sekolah perlu mengambil kira keupayaan murid untuk menyambung kelas DLP di sekolah menengah (bagi pembukaan di sekolah rendah) (12.2.3); kelas boleh dibuka sekiranya bilangan murid yang diluluskan untuk mengikuti kelas yang melaksanakan DLP hendaklah mencapai sekurang-kurangnya lima belas orang (12.2.4); membuka kelas sekiranya bilangan murid mencapai sekurang-kurangnya lima belas orang (12.3.2c); dan pembukaan kelas yang melaksanakan DLP tidak boleh menjejaskan peluang murid lain untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar (12.2.7).
1.5. Perkara yang tidak wujud di dalam garis panduan yang dirujuk ialah: 1) penilaian bahasa dilaksanakan untuk murid yang baru masuk darjah 1 bagi menentukan murid itu ke kelas DLP atau tidak; dan 2) perlu wujud kelas bukan DLP di sekolah. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam garis panduan DLP tetapi diarah juga adalah seperti satu amalan yang jelas bertentangan dengan syarat di dalam garis panduan - Bagi mencapai objektif DLP, kejayaan DLP bergantung kepada komitmen dan kecekapan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kebolehlaksanaan dan kelestarian program ini pada peringkat sekolah (15.0 Penutup).
2. Isu
2.1. Sebilangan ibu bapa dimaklumkan yang anak-anak mereka yang sudahpun menikmati DLP pada tahun 2023 dipaksa untuk masuk ke kelas bukan DLP pada tahun 2024.
2.2. Sekolah terpaksa membuka kelas bukan DLP di sekolah yang melaksanakan DLP sepenuhnya tahun 2024/2025. Sekolah DLP sepenuhnya yang memenuhi semua kriteria sudahpun kecil bilangannya. Bahasa pengantar utama di sekolah yang melaksanakan DLP masih kekal BM kerana sebilangan besar subjek lain adalah di dalam BM. Penguasaan bahasa Inggeris tidak boleh dianggap mengorbankan bahasa kebangsaan. Ia bukan ‘zero-sum game’.
2.3. Pelaksanaan kelas bukan DLP tahun 2024 yang diwajibkan sekolah DLP sepenuhnya mewujudkan perbezaan dan mengelirukan. Apabila kelas bukan DLP diwujudkan tanpa persetujuan ibu bapa atau secara paksaan, ia menimbulkan isu diskriminasi yang merupakan satu tindasan yang memangsakan pelajar yang dipaksa ke kelas bukan DLP sedangkan mereka mahukan DLP. Tanggapan yang kelas bukan DLP untuk pelajar lemah mematahkan minat STEM dan semangat pelajar justeru mengakibatkan impak negatif kepada psikologi mereka.
2.4. Pilihan ibu bapa diabaikan. Jelas bercanggah dengan formula Majlis Ekonomi Negara yang meluluskan DLP pada tahun 2015.
2.5. Pengetua perlu komited untuk menjayakan DLP dengan mematuhi garis panduan DLP, tanpa prejudis yang mengintepretasi garis panduan mengikut kehendak arahan lisan pihak atasan JPN dan KPM.
3. Rayuan untuk tindakan yang perlu diambil:
3.1. Bersikap adil, saksama dan hormati pilihan ibu bapa untuk memilih DLP. Tidak wajar memaksa ibu bapa menandatangani borang tidak pilih DLP. Izinkan pilihan ibu bapa seperti yang termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 yang meraikan aspirasi ibu bapa, iaitu anak-anak harus dididik mengikut hasrat ibu bapa masing-masing.
3.2. Izinkan sekolah yang melaksanakan DLP sepenuhnya kekal. Tidak wajar memaksa ibu bapa dan murid untuk ditakdirkan ke kelas bukan DLP apabila jelas kriteria sekolah sudahpun tersedia.
3.3. Dorongan dan bantuan intervensi diberi agar sekolah yang menawarkan DLP menjadi sekolah DLP sepenuhnya. Perluaskan bilangan sekolah, kelas dan murid.
3.4. Elakkan dari menjalankan penilaian bahasa untuk murid yang baru masuk darjah satu yang masih belum mencapai kelancaran menulis dan membaca. Elakkan dari menggunakan penilaian bahasa yang tidak betul bagi tujuan kelayakan kelas DLP atau tidak.
3.5. Apabila murid itu didapati lemah di dalam BM atau bahasa ibunda, berilah intervensi pembelajaran tanpa menarik DLP dari murid yang berminat dengan DLP.
3.6. Sekolah yang ingin memohon sebagai sekolah DLP tetapi tidak mencapai GPMP BM di peringkat SPM atau pentaksiran darjah 6 perlu diberi dorongan dan bimbingan untuk mencapai kriteria ini. Fokus perlu diberi untuk memartabatkan BM tanpa mengorbankan DLP. Sekolah yang tidak mencapai GPMP BM sedangkan semua mata pelajaran adalah di dalam BM/bahasa ibunda melainkan BI adalah bukti yang walaupun semua subjek diajar di dalam BM/bahasa ibunda, tetapi mereka masih lemah di dalam kecekapan bahasa. Keutamaan perlu diberi untuk intervensi pemantapan pembelajaran dan profisiensi pelbagai bahasa.
3.7. Tegakkan integriti guru. Beri autonomi kepada Pengetua/Guru Besar untuk melaksanakan pilihan ibu bapa. Janganlah PPD/JPN/KPM mengugut pihak sekolah dengan tindakan tatatertib dan bersikap autokratik dalam mengeluarkan arahan.
4. Kami menggesa Menteri Pendidikan untuk membincangkan isu DLP yang memihak kepada rayuan ibu bapa yang tergugat dengan lebih mendalam. Kami memohon dan merayu kepada Menteri Pendidikan dengan segala hormatnya dalam kapasitinya sebagai ahli kabinet untuk memperjelaskan kepada jemaah kabinet dan Perdana Menteri yang dihormati mengenai komplikasi isu DLP ini agar pandangan dan pendapat mereka juga dipertimbangkan dalam perbincangan kabinet mingguan dalam masa secepat yang munasabah. Dikhuatiri yang masa untuk pertimbangan inipun agak suntuk memandangkan yang tahun akademik bermula di bulan Mac 2024.
Yang benar,
Bagi pihak ibu bapa yang memilih DLP untuk anak mereka,
Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE)
Disokong oleh:
Asian Strategic & Leadership Institute (ASLI)
Lembaga Pengelola (Board of Governors) Bukit Bintang Boys’ Secondary School
Lembaga Pengelola (Board of Governors) CBN 1 (Convent Bukit Nanas 1)
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SMK Canossa Convent, Melaka
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SMK Methodist Girls’ School (MGS), SK MGS 1 and SK MGS 2, Melaka
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SMK Notre Dame, Melaka
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SMK St David, Melaka
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SMK St Francis, Melaka
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SMK Yok Bin, Melaka
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SM La Salle, Kota Kinabalu, Sabah
Lembaga Pengelola (Board of Governors) SM St Michael, Penampang, Sabah
Board of Managers, Vivekananda Tamil School Brickfields
Boston University Alumni Malaysia
British Graduates Association Malaysia (BGAM)
Bukit Bintang Girls’ School (BBGS) Alumni Berhad-Elena Cooke Education Fund (ECEF)
Centre for Vernacular School Excellence
Christian Brethren Education Board Trust (CBEBT)
Edunity Foundation
Federation of Christian Mission Schools Malaysia (FCMSM)
FMM Berhad (Federation of Malaysian Manufacturers)
G25
HIVE Educators, Kota Kinabalu, Sabah
KSI Strategic Institute For Asia Pacific
LeapEd Services (Education Service Provider and Social Enterprise)
Malayan Christian Schools’ Council (MCSC)
Malaysian Association for Education (MAE)
Melaka Action Group for Parents In Education (MAGPIE)
National Patriot Association (Patriots)
PEMANDU Associates
Project ID
STEM 4All Makerspace
Teach For Malaysia (TFM)
The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall – Youth Section (KLSCAH Youth)
The Tiada.Guru Campaign
Voice Of The Children
10 Januari 2024
The Federation of Methodist Schools Alumni Associations Malaysia
12 Januari 2024
Comments